5 Sekeluarga Tinngal Dalam Hutan – ‘Saya Seronok Tinggal Di Sini’

Lima beranak yang tinggal dalam sebuah pondok daif tidak berdinding dan berpintu serta hanya berlantaikan buluh dalam kawasan hutan kebun getah di Kampung Kuala Tualak di sini, bakal menerima bantuan rumah di tapak berhampiran.

Perkara itu dinyatakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim selepas mengunjungi keluarga itu di pondok mereka.

Pasangan muda itu, Mohd Ridzuan Yaakob, 26, dan isterinya, Nur Hidayah Roslizam, 23, yang sedang hamil enam bulan, serta tiga anak mereka berusia setahun setengah hingga enam tahun tinggal di pondok itu hampir setahun yang lalu.

Nur Hidayah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan mengikut suaminya tinggal dalam pondok itu bagi memudahkan suaminya mencari rezeki di kawasan hutan itu.

“Sebelum ini kami tinggal bersama ibu mentua tetapi terpaksa pindah kerana adik-beradik suami pun tinggal sekali dengan ibu mentua.

“Kemudian kami menyewa di luar tetapi tidak sampai sebulan sebelum ambil keputusan tinggal di sini (kebun getah),” katanya.

Menurutnya, Mohd Ridzuan sering keluar masuk kawasan kebun getah ini untuk mencari rezeki.

“Suami saya buat pelbagai kerja kampung seperti menoreh getah dan mencari petai dan dapatlah antara RM600 dan RM700 sebulan,” katanya.

Menurut suri rumah itu, mereka menggunakan generator untuk menjana elektrik, manakala bekalan air bagi kegunaan harian untuk membasuh serta memasak diperoleh dari telaga berhampiran.

“Saya seronok tinggal di sini dan bersyukur dengan keadaan ini. Bagi saya tidak ada masalah. Waktu malam pun tiada nyamuk tetapi kami kena berjaga-jaga dengan babi dan ular. Cuma saya harap tempat tinggal saya ini dapat diperbaiki lagi agar berdinding supaya lebih selesa,” katanya.

Bagi Mohd Ridzuan pula, dia selesa tinggal di situ dan tidak merancang untuk berpindah keluar.

Menurutnya, dia berharap sekiranya ada pihak berkaitan yang boleh membantu untuk membina rumah yang lebih selesa di dalam kawasan kebun getah tersebut.

“Sekarang pondok ini dibina atas tanah datuk saya. Memang saya yang pilih tinggal di sini sebab mudah bagi saya untuk bekerja,” katanya.

Pondok bertiangkan kayu yang tidak kukuh serta beralaskan bumbung plastik terbabit dibina di bawah cerun bukit dengan anggaran kedalaman kira-kira 20 meter.

Dalam pada itu, Badrol Hisham berkata, pihaknya ada menawarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk keselesaan keluarga Mohd Ridzuan namun dia menolak kerana tetap mahu tinggal dalam kebun getah terbabit.

Sehubungan itu, pihaknya merancang untuk membina sebuah rumah yang lebih selesa kepada keluarga berkenaan sebagai alternatif lain tetapi bukan dibina atas tapak sama pondok itu kerana dilihat tidak selamat.

“Kami kena cari tapak lain yang lebih selamat terlebih dahulu untuk bina rumah ini. Saya difahamkan ada tanah yang rata milik datuk Mohd Ridzuan di kawasan ini.

“Proses untuk membina rumah ini pula akan dibuat secepat mungkin dan saya akan turut berbincang dengan pihak berkaitan bagi mempercepatkan pembinaan rumah ini bagi keselesaan keluarga Mohd Ridzuan,” katanya.

Badrol Hisham turut menyampaikan sumbangan kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) berupa barangan makanan kepada keluarga itu.

Sumber : Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 7:21 PM



Sumber Ceritera Chenta http://ift.tt/2fBWFpH

0 Response to "5 Sekeluarga Tinngal Dalam Hutan – ‘Saya Seronok Tinggal Di Sini’"

Post a Comment