TAPAH: Difahamkan sekurang-kurangnya 7 maut dan berpuluh yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran di Kilometer 326.3 Lebuhraya Plus arah selatan berhampiran susur keluar ke Tapah sekitar jam 2.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, dari sisatan awal punca kejadian dikatakan bas tersebut telah hilang kawalan selepas terlanggar sebiji tayar lori yang berada ditengah-tengah jalan sebelum terbabas ke dalam parit dan terbakar.
"Bas terbabit melanggar tayar lori sebelum merempuh sebuah kereta yang berhenti di bahu jalan dan kemudian terbabas serta terbakar. "Pemandu kereta jenis Charade dipercayai memberhentikan keretanya untuk mengalihkan tayar berkenaan, namun tidak sempat melakukannya," katanya dipetik dari Harian Metro.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa dilakukan pasukan bomba dan setakat ini menemui tujuh mangsa yang rentung, namun jumlah sebenar mangsa yang maut belum dapat dipastikan.
"Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada penumpang yang terselamat, bas berkenaan dinaiki 30 orang, setakat ini tujuh didapati maut dan 15 cedera dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala tujuh lagi cedera ringan.
"Kita masih menyiasat dan mengesan sama ada benar terdapat satu lagi mangsa," katanya.-Siakapkeli.com.my
Post a Comment