ORLANDO: 50 orang terbunuh dan 53 yang lain cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan menawan tebusan di sebuah kelab malam gay di Florida, kata polis pada Ahad.
"Kami telah memeriksa bangunan dan adalah menyedihkan bukan 20 yang kita temui tetapi 50 mayat yang dijumpai berhampiran penembak.
“53 lagi telah dimasukkan ke hospital,” kata Datuk Bandar Orlando Buddy Dyer dalam satu taklimat ringkas bersama media.
Penembak tersebut telah dikenalpasti sebagai Omar Saddiqui Mateen, 29, dari Fort Pierce, kira-kira 120 batu tenggara Orlando.
Sebelum ini dianggarkan sejumlah 20 orang maut di sebuah kelab malam dan bar yang popular untuk golongan gay di sini, selepas insiden seorang penyerang bersenjata cuba menjadikan mereka tebusan pada awal Ahad.
Dalam keadaan cemas, pihak berkuasa turut menerima pesanan ringkas daripada pelanggan bar berkenaan, lantas membuatkan sepasukan anggota Pasukan Khas Senjata dan Taktik (SWAT) menyerbu lokasi itu, lapor AFP.
“Malang sekali, terdapat mereka yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan antara penyerang dan anggota polis, lebih kurang 20 orang kesemuanya, di dalam kelab hiburan tersebut,” ujar ejen FBI, Ron Harper.
Penyerang bersenjata tersebut turut terbunuh dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, kira-kira 42 orang cedera dalam insiden itu dan mereka telah dihantar segera ke tiga buah hospital.
Masih belum jelas sama ada semua mangsa ditembak secara langsung oleh penyerang itu atau ada beberapa yang mati sewaktu kejadian tembak-menembak dengan polis.
sumber: Astroawani
Post a Comment