Kisah Sedih Bila Mufti Perlis Terserempak Seorang Makcik Penjual Rebung Jam 12.00 malam di Kaki Lima
Kesungguhan Mak Cik Penjual Rebong
Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebong dan beberapa jenis makanan segera.
Mula-mula saya bertemu anaknya yang masih kecil berniaga di hadapan KFC Kangar tadi. Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana.
Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima.
Saya bertanya: Adakah mak cik mendapat bantuan zakat?
Dia menjawab: Ya! Mak cik ada terima zakat secara bulanan dan bantuan Badan Kebajikan juga. Cumanya mak cik tidak mahu duduk sahaja sebab ada tanggungjawab tiga anak OKU di rumah.
Saya lihat beliau menjual sekarong rebung yang dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil. Agak banyak dan berat.
Saya bertanya: "Dari mana modal mak cik ambil untuk berniaga?"
Dia menjawab: "Mak cik cari dan potong sendiri dari hutan". Saya sedih mendengar kesungguhan beliau berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat.
Saya hulurkan sedikit sumbangan kemudian saya membeli kesemua rebung beliau sebagai tanda sokongan kepadanya. Hampir 40 bungkus rebong beliau.
Saya bukan penggemar rebung. Namun saya pasti pagi esok saya akan cari masjid yang sudi terima semua rebung ini untuk dibuat menu berbuka puasa.
Sebelum saya dan keluarga beredar, saya tanya beliau:
"Mak Cik tinggal di mana?"
Jawabnya: "Di Chuping".
Saya tanya lagi: "Macam mana semua barang ini dibawa ke sini?"
Dia menunjukkan motosikalnya yang uzur. Dia beritahu semalam tayar motorsikalnya pecah, dia terpaksa menolak motorsikal itu sehingga ke rumah. Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah.
Amat sedih saya mendengar.
Sebelum saya masuk ke kereta saya tanya lagi: Mak cik tahu pejabat MAIPs di mana? Dia agak terpinga-pinga.
Saya tanya lagi: Mak Cik tahu pejabat zakat kat mana?
Dia jawab: Tahu!
Saya kata kepadanya: "Di situlah pejabat MAIPs. Esok pergi ke situ bagitahu kat kaunter tu mufti suruh mak cik mohon zakat tambahan".
Dia mengangguk.
Orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. In sha Allah MAIPs akan menambahkan bantuan untuknya.
Saya beredar dalam jiwa yang sedih. Semoga Allah ampuni saya dan segala dosa serta kelemahan saya. Semoga Allah memberikan rezeki kepadanya yang banyak.
Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada Allah atas segala kurniaanNYA dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima.
sumber. drmaza
Post a Comment