Sebak.. Luahan Sayu Ustaz Pemandu Van Ragut Tujuh Nyawa Pelajar Tahfiz Setelah 3 Minggu Tragedi Berlaku


MACHANG - “Maafkan ustaz....ustaz rasa sangat bersalah. Andai nyawa boleh ditukar ganti, ustaz sanggup berada di tempat kalian. 

“Tiada kata-kata yang ustaz dapat lafazkan untuk menyatakan kesesalan hati ini, tetapi ketahuilah ustaz sangat sayangkan kalian semua. Kalian bukan sahaja anak murid tetapi lebih kepada adik-adik, yang ustaz jaga siang dan malam.

 “Mana mungkin ustaz sanggup kehilangan kalian, sedangkan sakit pening kalian, ustaz yang jagakan, ustaz yang sapukan ubat, namun takdir ALLAH SWT melebihi segala-galanya.

 “ALLAHUAKBAR... dugaan ini cukup berat bagi ustaz. Kalau boleh diputarkan masa, ustaz harap ini semua tidak berlaku dan kita bersama-sama seperti dahulu, tekun menuntut ilmu, bergurau bersama-sama dan berkongsi pelbagai cerita.

 “Biarpun ustaz bergelar guru, namun umur kita yang tidak jauh berbeza membuatkan kita semua rapat dan ustaz dapat memahami jiwa remaja kalian, sekali gus mengisi kerinduan kepada adik beradik dan keluarga masing-masing apabila berada di pusat tahfiz.”

 Itulah luahan Muhammad Hamzi Mohamad Husham, 24, ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Tak dapat ingat kejadian Dengan wajah sayu, tutur kata yang hiba, guru al-Quran yang juga warden asrama, Muhammad Hamzi berkongsi perasaannya selepas lebih tiga minggu terlibat dalam kemalangan, mengorbankan tujuh pelajar tahfiz CT-One Islamic Centre, Tualang, Kuala Krai, termasuk lima maut di tempat kejadian.

 Kehilangan tujuh pelajar yang dikenali sejak Januari lalu dalam sekelip mata bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi dia yang memandu kenderaan tersebut dan kejadian itu pasti menjerut tangkai hatinya.


Keadaan van dinaiki 14 mangsa rosak teruk.

 Dalam kejadian itu, van yang dipandu Muhammad Hamzi sedang dalam perjalanan ke program Daurah Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, terbabas sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah rumah di Kampung Telekong, Kuala Krai, kira-kira jam 9.30 pagi pada 2 Jun lalu.

 “Semuanya berlaku sekelip mata dan sehingga sekarang, saya masih tak dapat mengingati kejadian tersebut. Dah puas saya cuba ingat, malangnya tak dapat.

 “Sekalipun secara fizikal, saya mungkin dilihat beransur baik, tapi perasaan saya sukar diungkapkan dengan kata-kata. Hati saya hancur berderai apabila dapat tahu tujuh pelajar meninggal dunia dan selebihnya cedera.

 "Saya tidak berniat apa-apa, cuma ingin menolong rakan (pemandu tetap) dengan memandu secara bergilir-gilir. Jika dipanjangkan usia, diberi kesempatan oleh ALLAH SWT, saya ingin berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar yang meninggal dunia. Saya nak minta maaf dengan mereka, saya nak ziarah pusara adik-adik saya. Insya-ALLAH”, katanya.

Kesihatan masih belum pulih Suara Muhammad Hamzi seolah tersekat. Dadanya sebak, suara kedengaran sangat perlahan seolah-olah terlalu sukar untuk diungkapkan ustaz muda itu.

 Katanya, kesihatannya masih belum mengizinkan dia berbuat demikian. Badannya masih sakit-sakit, malah tidak mampu berjalan dan berdiri terlalu lama.

 “Saya juga nak menziarahi adik-adik pelajar yang sakit dan ada antara mereka masih mendapatkan rawatan di hospital. Saya nak jumpa mereka, nak minta maaf dengan mereka. Saya tahu mereka faham yang saya tidak menginginkan semua ini berlaku. Saya rasa bersalah, sangat-sangat bersalah.


Hasmah (duduk, kanan) tenang berada di sisi jenazah anaknya, Nik Shah Jehan.

 “Keadaan pada pagi kejadian tu seperti biasa. Kereta tak banyak, mereka berbual sesama sendiri. Semuanya berjalan dengan baik, tapi takdir ALLAH tiada siapa dapat nafikan.

 "Betul, memang salah saya kerana tak ada lesen memandu dan saya terimanya sebagai kesilapan diri saya,” katanya.

 Tambah Muhammad Hamzi, selepas dua minggu kejadian tersebut, dia cuba kembali bertugas namun kesihatan tidak mengizinkan dan terpaksa pulang selepas dua hari.

 “Insya-ALLAH, saya akan kembali ke pusat tahfiz selepas cuti hari raya ini dan saya harap saya dapat bertugas seperti biasa selepas ini. Doakan saya,” katanya.

 Dalam kejadian itu, lima mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa meninggal dunia ketika diberi rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Krai.

 Sumber: Sinar Harian

0/Post a Comment/Comments

'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();

Stay Conneted