LOFTI ARIFFIN PEJUANG JIHAD DI SYRIA KINI CEDERA PARAH DAN KOMA
KUALA LUMPUR – Pejuang Syria dari Malaysia Lotfi Ariffin kini cedera parah dan koma selepas terlibat dalam satu pertempuran di negara bergolak itu, tetapi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Abang sulungnya, Mohd Zainon Ariffin, 53, mengesahkan perkara itu dan berkata keadaan adiknya semakin pulih daripada koma selepas cedera dalam serangan hendap tentera Bashar al-Assad Selasa lalu, lapor Sinar Harian. Zainon berkata, beliau dimaklumkan mengenai keadaan adiknya itu oleh rakan melalui laman Facebook.
Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang gambar atau bukti yang diberikan kepadanya tentang keadaan adiknya itu dan sehingga kini beliau masih gagal menghubungi Lofti sejak beberapa hari lalu.
“Saya dimaklumkan rakan di laman Facebook Lotfi sudah stabil. Saya tidak pasti bagaimana situasi stabil yang dimaksudkan.
“Sehingga kini, saya belum terima gambar atau bukti lain yang boleh mengesahkan perkara itu, tetapi besar harapan saya beliau kembali stabil dan dapat meneruskan perjuangan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online. Lofti dikatakan koma selepas kumpulan Malaysia itu diserang hendap tentera Bashar as-Assad di Syria.
Akibat serangan itu bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu tidak sedarkan diri dan cedera di bahagian kaki, tangan serta muka.
Menurut maklumat yang dipetik daripada laman Facebook milik Abu Talhah II yang turut berada di Syria, pasukan itu dikatakan sedang bersedih kerana kehilangan seorang rakan, manakala 2 lagi cedera parah.
Lofti mencetuskan kontroversi Jun lalu apabila secara terbukannya mendedahkan kegiatannya di Syria dengan memuat naik gambar dan klip video di Syria di laman sosial.
Ia menyebabkan PAS bertindak memecatnya dengan menegaskan parti itu tidak pernah mengiktiraf ahlinya untuk berjuang secara gerakan bersenjata.
Seorang lagi militan Malaysia, adalah bekas penyanyi pop Melayu, Ali Ukay. Beliau dikatakan dipengaruhi oleh Lotfi dan menyertainya ke Syria.
Sinar Harian melaporkan, Lotfi bertekad untuk tidak lagi kembali ke Malaysia dan itu adalah antara pesanannya sebelum berlepas ke Syria.
Zainon berkata, perkara itu disampaikannya seminggu sebelum adiknya itu pergi meninggalkan tanah air.
“Dia pergi tanpa pengetahuan sesiapa. Jika dilabel bekas pejuang Mujahidin di Afghanistan, itu saya boleh terima. Tetapi tuduhan itu berniat untuk jejaskan nama baik dia,” katanya.
Lotfi dalam satu kiriman Facebook sebelum ini mendakwa sudah meletakkan semua jawatannya dalam PAS sejak 19 April sebelum dipecat parti itu.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengumumkan Lotfi dipecat daripada PAS pada 11 Mei lalu.
Zainon berkata, Lotfi membuat kajian yang mendalam selama 3 tahun sebelum berangkat ke Syria dan tidak pernah berkempen mengajak saudara atau sahabat menyertai perjuangannya.
Katanya, pemecatan daripada PAS tidak menjadi isu kerana kepentingan Lotfi kini adalah perjuangannya di Syria.
“Sebenarnya Lotfi tidak lagi pentingkan soal keahlian dalam parti kerana fokusnya kini adalah berjihad. Dia tidak akan kembali ke Malaysia,” katanya, lapor The Malaysian Insider.
Post a Comment