Makin Kritikal Stesen Minyak Kehabisan Bekalan Petrol di Kota Bharu
KOTA BHARU - Stesen minyak di Kedai Buloh di sini kini sudah kehabisan bekalan petrol kerana terputus bekalan sejak lima hari lalu.
Pemiliknya, Wan Rokiah Awang Chik berkata, sejak Rabu lalu stesen minyaknya tidak beroperasi kerana terputus bekalan.
"Saya sudah membuat tempahan penambahan bekalan sebelum banjir lagi tetapi saya dimaklumkan lori tersebut tidak dapat masuk ke Kelantan kerana banjir.
"Ramai yang datang mahu membeli minyak tapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana minyak habis," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Katanya, dia terpaksa meletakkan papan tanda minyak habis kerana ramai yang datang bertanyakan bekalan bahan bakar berkenaan.
Justeru ada penduduk yang mengambil kesempatan menjual petrol dengan harga RM5 sebotol di tepi-tepi jalan.
Selain kehabisan bekalan minyak, penduduk di kawasan terbabit juga terpaksa bergelap sejak tiga hari lalu kerana elektrik terpaksa diputuskan demi keselamatan termasuk bekalan air.
Perkara tersebut diakui oleh seorang penduduk Siti Zurina Zakaria dan katanya bekalan air bersih juga tidak ada sejak Jumaat lalu berikutan banjir yang melanda kawasan terbabit.
Seorang penduduk, Mat Hassan Said berkata, dia terpaksa membeli air mineral di kedai runcit berdekatan untuk minum.
"Saya tidak risaukan air untuk mandi tetapi saya bimbang bekalan air bersih bagi minum dan memasak. Bagaimanapun keadaannya saya perlu membeli air botol di kedai untuk ahli keluarga," katanya.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati beberapa jalan di kawasan Kedai Buloh, Kampung Che Latif, Pulau Pisang dan Pulau Kundor terhakis kerana arus deras sepanjang banjir berlaku di kawasan tersebut.
Ada yang meletakkan guni yang diisi pasir sebagai langkah mencegah kerosakan lebih teruk sekiranya banjir berserta arus deras terus berlaku di kawasan itu.
Dalam pada itu, berhubung paras air pula di Jalan Pantai Cahaya Bulan dan sekitarnya ia tidak banyak menunjukkan perubahan walaupun menunjukkan sedikit penurunan.
Masih banyak kawasan rendah di sekitarnya ditenggelami air dan jalan-jalan alternatif ke pusat bandar belum dibuka kepada kenderaan. - Sinar Harian
Post a Comment