Orang Ramai Jangan Bandingkan PT3 dengan PMR - Kamalanathan





  • PUTRAJAYA - Orang ramai harus berhati-hati apabila memberi maklum balas mengenai peperiksaan sulung Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan tidak membandingkannya dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

    Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan berkata, kedua-dua peperiksaan berbeza kerana kedua-duanya bukan sahaja dijalankan dalam format yang berbeza tetapi juga mempunyai tujuan yang berbeza.

    "Soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi" digunakan dalam PT3 dan tidak seperti PMR, semua kertas PT3 terdiri daripada soalan subjektif yang memerlukan pelajar untuk berfikir dan proses penandaan juga telah dipertingkatkan.

    "Pada dasarnya, ini adalah dua set peperiksaan yang berbeza dan membandingkannya adalah usaha yang sia-sia," katanya dalam catatan terbaharu beliau hari ini bertajuk "Marilah kita bekerja bersama-sama untuk masa depan yang lebih baik untuk pelajar kita " dalam blognya, pkamalanathan.blogspot.com.

    Beliau berkata, keputusan PT3 yang diumumkan pada Isnin telah mendapat pujian serta kritikan daripada pihak berkepentingan dan orang awam.

    "Setiap maklum balas adalah berharga kerana niat kita adalah sama; untuk memastikan pelajar kita di Malaysia diberi pendidikan yang terbaik. Seperti dalam mana-mana usaha baharu atau perubahan positif, masa adalah amat penting.

    "Kita perlu berlaku adil dalam maklum balas kerana inisiatif baharu ini adalah pembelajaran yang memerlukan sokongan semua untuk mencapai matlamatnya," kata Kamalanathan.

    Beliau berkata keberkesanan perubahan tidak sentiasa dapat dilihat segera, terutama apabila ia berkenaan pendidikan. Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk memperincikan format baharu ini. - Bernama

    0/Post a Comment/Comments

    '; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();

    Stay Conneted