Beberapa Negeri Akan Kekurangan Bas Sekolah akibat Banjir


Sesetengah tempat mungkin berdepan kekurangan bas sekolah apabila sesi persekolahan 2015 bermula tidak lama lagi.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), Amali Munif Rahmat berkata, banjir di beberapa negeri telah menyebabkan banyak bas sekolah rosak ditenggelami air.
Beliau memberitahu Sinchew Daily, keadaan bertambah teruk apabila banyak bengkel kereta turut tutup kerana banjir, menyebabkan pengusaha bas sekolah sukar membaiki kenderaan masing-masing.
Mengenai tambang bas sekolah yang dikatakan naik antara 30 hingga 50 peratus pada bulan ini, Amali berkata, kadar tambang mungkin naik sekali lagi apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan.
Beliau menjelaskan, kadar kenaikan tambang adalah berdasarkan kumulatif kenaikan harga diesel sepanjang tempoh 2014 hingga 2015.
Katanya, walaupun perbincangan masih dijalankan, tetapi ibu bapa jangan terkejut jika tambang dinaikkan antara 30 hingga 50 peratus pada sesi persekolahan 2015.
"Kadar tambang tidak diselaraskan untuk seluruh negara, ia ditentukan pengusaha berdasarkan lokasi bandar dan luar bandar atau jenis sekolah," katanya kepada Sinchew Daily.
Jelasnya, kadar tambang untuk murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina biasanya lebih mahal kerana jadual sekolah jenis itu lebih rumit.
"Sekolah Cina selalunya mempunyai sesi petang selain kelas tambahan, oleh itu harga tambang adalah lebih mahal," katanya. - malaysiagazette

0/Post a Comment/Comments

'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();

Stay Conneted