Kegiatan pedofil Britain, Richard Huckle di Malaysia telah didedahkan oleh polis Australia yang menemui aktiviti dalam talian beliau semasa sedang menyiasat beberapa suspek lain.
Polis di Australia dan Eropah menyedari kewujudan satu laman pedofil bernama True Love Zone yang tersorok dalam apa yang dipanggil jaringan gelap, dilindungi kata laluan, enkripsi dan perisian pakar.
Pengguna-penggunanya pula tidak bernama.
Gambar dan video di situ menunjukkan penderaan seksual terhadap bayi dan kanak-kanak.
Ahli-ahlinya diwajibkan memuat naik material yang semakin grafik untuk kekal menjadi ahli laman tersebut.
Terdapat puluhan ribu akaun.
Lapor BBC News, pegawai polis yang terbabit dengan Task Force Argos di Australia mendapat tahu bahawa pencipta laman tersebut menggunakan sapaan ganjil – perkataan ‘hiyas’.
Setelah melayari bilik-bilik chat dan forum di Internet secara mendalam, mereka menemui satu laman Facebook seorang lelaki yang menggunakan sapaan yang sama.Walaupun laman Facebook itu laman palsu, mereka mengenal pasti gambar sebuah kenderaan, dan maklumat ini membawa mereka kepada seorang lelaki yang dipanggil Shannon McCoole, seorang pekerja penjagaan kanak-kanak di Adelaide.
Semasa pegawai-pegawai menangkapnya, McCoole sedang berada dalam talian dan melayari laman itu.
Mereka mengambil gambar tangan McCoole dan satu tompok pada tangannya berjaya dipadankan dengan satu gambar penderaan seksual kanak-kanak yang berada dalam laman itu.
Para pegawai kemudiannya menggunakan identiti McCoole untuk melayari laman tersebut. McCoole telah dihukum penjara 35 tahun pada tahun lepas.
Para pegawai juga mendapati terdapat seorang pengguna laman itu yang menonjol–Huckle–berdasarkan akses kepada jumlah kanak-kanak yang diperolehinya dan juga kerana sikapnya yang agresif.
Mereka mengenal pasti siapa dirinya dan di mana dia tinggal berdasarkan maklumat yang dimuat naik oleh Huckle ke media sosial dan laman-laman lain.
Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) Britain telah diberi maklumat tentang Huckle yang pada masa itu akan pulang ke UK untuk menyambut Krismas pada 2014.
Sewaktu berada di lapangan terbang Gatwick Huckle ditahan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Eksploitasi Kanak-kanak dan bahagian Perlindungan Dalam Talian NCA.
Dalam komputer dan cakera kerasnya yang disulitkan, terdapat puluhan ribu gambar dan video lucah kanak-kanak.
Sewaktu menggeledah rumahnya juga, polis menemui buku manual penderaan seksual kanak-kanak, ‘Paedophiles And Poverty: Child Lover Guide’ yang ingin dimuat naik oleh beliau ke laman True Love Zone untuk dijual. –amazingnara.com
Post a Comment