JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki pada Jumaat yang dipercayai terlibat memuat naik dokumen berhubung pengeluaran kad pengenalan Bangsa Johor yang tular di media sosial.
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berkenaan yang juga seorang pelajar di sebuah pusat latihan kejuruteraan penerbangan, ditahan di Taman Subang Perdana, Shah Alam, kira-kira 3.20 petang.
“Polis turut merampas satu telefon bimbit jenis Samsung Galaxy K Zoom bersama simkad daripadanya dan lelaki berumur 25 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, untuk direman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan terhadapnya,” katanya menerusi kenyataan di sini Jumaat.
Wan Ahmad Najmuddin berkata terdahulu, polis menerima satu laporan pada 9.45 malam tadi ekoran perbuatan memuat naik borang permohonan, syarat permohonan dan keistimewaan yang ditawarkan serta identiti kad pengenalan Bangsa Johor dalam media sosial yang kononnya dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor.
Beliau berkata suspek didapati memuat naik dokumen-dokumen itu dalam akaun Twitter atas nama Tuan Syed Sigaraga@syedsigaraga.
Katanya, polis sehubungan itu, menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Polis menyeru orang ramai yang telah membuat permohonan atas kad pengenalan Bangsa Johor ini atau telah membuat apa-apa bayaran bagi permohonan tersebut agar tampil membuat laporan polis.
“Polis juga menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial tanpa berfikir panjang atau bersedia menghadapi tindakan tegas pihak polis,” katanya.
Malam Khamis, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani menerusi kenyataan berkata kerajaan Johor menafikan pernah mengeluarkan kad identiti Bangsa Johor seperti yang sedang tular di media sosial itu.
Azmi berkata setakat ini, tidak ada mana-mana pihak termasuk jabatan kerajaan negeri mengeluarkan kad berkenaan.
“Penggunaan identiti Johor bagi tujuan sedemikian rupa tanpa merujuk kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri adalah dilarang sama sekali,” katanya.
Post a Comment